MyGift - An Everlasting Gift

Affin Islamic Bank sumbang 100 ribu Dana Endowmen UMP

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan 100 ribu daripada Affin Islamic Bank untuk dana endowmen yang merupakan instrumen yang signifikan untuk melestarikan pertumbuhan universiti ini pada masa akan datang.

Majlis menyaksikan sumbangan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil kepada Naib Canselor UMP, Profesor Dato'Dr. Daing Nasir Ibrahim bertempat di Bilik Bankuet Canseleri pada 7 Jun 2012 yang lalu.

Sumbangan endowmen yang diterima daripada pihak Affin Islamic ini merupakan manifestasi keprihatinan sektor swasta dan korporat untuk turut berperanan dalam pertumbuhan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Penerokaan sumber endowmen merupakan antara insiatif yang dikenal pasti serta ditekankan dalam Bidang Keberhasilan Utama Universiti (UKRA), iaitu di bawah Kelestarian Kewangan dalam pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2011-2015.

Dengan perimeter kuasa dan autonomi universiti, pihak pengurusan universiti perlu berusaha keras untuk meneroka sumber-sumber pendapatan dan pembiayaan luar tanpa terlalu mengharapkan sepenuhnya kepada geran kewangan daripada Kerajaan.

Pihak Affin Islamic melahirkan rasa bangga dengan kerjasama erat kedua-dua pihak ini, selain dapat menyempurnakan tanggungjawab dalam membantu pelajar mewujudkan peluang pendidikan yang cemerlang dan mampu menghasilkan graduan yang berpengetahuan dalam bidang agama dan profesional.

Selain sumbangan zakat, Affin Islamic turut bercadang meluaskan penggunaan wang zakat ini untuk tujuan kontrak amal (charitable contract) dan wakaf seperti yang banyak dilaksanakan di negara Islam lain termasuk di Turki dalam membangunkan sektor pendidikan.