MyGift - An Everlasting Gift

Ziarah Prihatin Ramadan bantu insan lain kurang berkemampuan

Persatuan Alumni Universiti Malaysia Pahang (Alumni UMP) dengan kerjasama NGO I-Bantu IKRAM Pahang, Hidayah Centre Pahang ,Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP (JHEPA UMP) dan Kolej Kediaman 4 UMP telah menganjurkan Program Ziarah Prihatin Ramadan 2016 pada 4 Jun 2016 yang lalu.

Program yang melibatkan seramai 50 orang sukarelawan alumni UMP, mahasiswa, staf dan sukarelawan i-Bantu Ikram Pahang itu memfokuskan pengagihan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian dan tunai kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Penerima terdiri daripada golongan fakir miskin, warga emas, ibu tunggal, penghidap sakit kronik, saudara baru (mualaf), masyarakat orang Asli beragama Islam serta golongan orang kelainan upaya (OKU) dari tujuh buah kampung yang terpilih di sekitar Kuantan melibatkan 85 keluarga.

Siri pertama program ziarah ini berjalan serentak di lima buah lokasi iaitu Kampung Tiram, Kampung Teruntum, Kampung Kurnia, Kampung Sungai Isap, Kampung Padang dan ziarah rumah ke rumah saudara baharu Islam di bawah seliaan Hidayah Centre Pahang.

Seramai 65 penerima menerima sumbangan berupa pek barangan keperluan harian yang mengandungi beras, minyak masak, rempah ratus, kicap, gula, kopi, susu dan lain-lain, set telekung solat dan sejadah serta sedikit wang tunai hasil sumbangan terkumpul Persatuan Alumni UMP, sumbangan peribadi alumni-alumni UMP dan sumbangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMP manakala daripada pihak I-Bantu IKRAM Pahang menyampaikan sumbangan wang tunai.

Bantuan seperti ini bukan sahaja bermakna buat mereka yang menerima malah kita juga dapat memenuhi tanggungjawab sosial dalam membantu masyarakat setempat.

Hadir menyampaikan sumbangan Yang di-Pertua Pertubuhan IKRAM Negeri Pahang Suhaimi Mohd Aripin mewakili I-Bantu Pahang yang turut serta dalam program ziarah ini di Kampung Tiram. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato' Yuserrie Zainuddin, Pengerusi Hidayah Centre Pahang, Tuan Haji Zuraidi Ismail serta pengarah Program, Mohd Najib Razali.