MyGift - An Everlasting Gift

Pelajar UMP Terima Sumbangan Bantuan Tabung Amanah Zakat

Seramai 18 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terdiri daripada anak yatim dan pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan menerima sumbangan bantuan tabung amanah zakat sempena kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

Sumbangan yang diterima daripada Pusat Kutipan Zakat Negeri Pahang buat pertama kalinya itu diagihkan kepada pelajar yang layak menerima sumbangan dengan jumlah antara RM 300 hingga RM 500 seorang bagi menampung perbelanjaan pembelajaran di universiti.

Pengurniaan sumbangan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tuanku Canselor dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang yang berangkat hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Tuanku Canselor di Dewan Astaka, UMP pada 18 Ogos 2010 yang lalu.

UMP menganjurkan program berbuka puasa beramai-ramai (Iftar Jama'ie) yang mula dianjurkan sejak Ramadan tahun lalu dan keunikan ini akan diteruskan sebagai suatu tradisi yang dikembangkan penganjurannya ke Pekan.

Seramai 648 pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) menginap di kampus tetap UMP di Pekan turut menikmati juadah berbuka puasa yang dijalankan secara bergotong-royong.

Kesungguhan dan komitmen warga UMP yang prihatin dalam mengumpulkan dana Tabung Kebajikan Aktiviti Ramadan amat membanggakan sehingga mencapai RM 90 ribu dalam menggerakkan aktiviti sepanjang Ramadan.

Tabungan ini hasil daripada tajaan orang perseorangan, badan-badan korporat dan sumbangan warga kerja UMP yang dibuat sejak awal tahun dengan kemudahan potongan gaji setiap bulan.

Tradisi murni yang dibudayakan ini diharap akan lebih mengharmonikan warga universiti yang berbilang bangsa untuk memacu usaha ke arah kegemilangan universiti.