MyGift - An Everlasting Gift

MyGift Launching

Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah melancarkan inisiatif MyGift pada 1 Oktober 2016 sebagai platform rasmi sumbangan endowmen kepada universiti. Majlis pelancaran disempurnakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang,Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’adzam Shah dalam Majlis Santapan dan Jamuan Malam sempena Pelancaran MyGift UMP yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

Berangkat sama Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang,Sultanah Hajah Kalsom bersama Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah.

Inisiatif MyGift merupakan respon strategik UMP terhadap seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meneroka prospek endowmen dan wakaf pendidikan tinggi secara lebih intensif dengan kerjasama agensi awam, organisasi korporat dan Majlis Agama Islam di negeri-negeri.

Portal MyGift menjadi pemudahcara penyaluran sumbangan secara atas talian yang membolehkan dermawan mempunyai pilihan untuk menyalurkan sumbangan mereka. Sepuluh bentuk endowmen dan tabung adalah Endowmen Biasiswa Pelajar, Endowmen Kemudahan/Fasiliti, Endowmen Kursi, Endowmen Kecemerlangan, Tabung Komuniti, Tabung Ramadan, Tabung Masjid, Tabung Bencana, Tabung Wakaf dan Tabung Prasarana yang direkabentuk dengan tujuan khusus untuk memanfaatkan kesejahteraan mahasiswa, kecemerlangan akademik dan pembangunan komuniti.

Manakala seramai 21 penyumbang membabitkan pihak jabatan, korporat dan industri menyerahkan sumbangan yang setakat ini berjaya dikumpul sebanyak 13 juta untuk dana MyGift.