MyGift - An Everlasting Gift

UMP terima bantuan wang zakat 250 ribu untuk pelajar miskin

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima bantuan wang zakat 250 ribu sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Pahang dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk membantu pelajar yang mempunyai masalah beban kewangan dalam pengajian.

Majlis yang diadakan pada 20 Februari 2012 yang lalu di Dewan Bankuet UMP Kampus Gambang itu menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim diiringi Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin menerima serahan sumbangan yang disampaikan Timbalan Yang di-Pertua MUIP yang juga Pengerusi Pusat Kutipan Zakat Pahang, Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato' Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Hassan dan Timbalan Yang di-Pertua MUIP yang juga Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang, Haji Halidan Md. Daud.

Wang zakat tersebut diberikan kepada para pelajar yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dan tahap sosioekonomi keluarga, malah ada dalam kalangan pelajar universiti ini yang menghadapi kesulitan kewangan untuk menampung kos sara hidup di sini berbanding rakan-rakan mereka yang lebih berkemampuan.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad) sering melakukan pemantauan secara berterusan bagi mengenal pasti serta membantu kebajikan pelajar-pelajar yang menghadapi masalah kewangan sepanjang tempoh pengajian mereka dia kampus.

Bantuan wang zakat yang diterima ini diharap dapat dimanfaatkan oleh pelajar untuk menampung keperluan pembelajaran mereka demi meringankan beban keluarga.