MyGift - An Everlasting Gift

UMP Terima Sumbangan Bantuan Mangsa Banjir

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan daripada pihak syarikat dan individu yang berhasrat membantu mangsa banjir di negeri Pahang.

Terbaharu, sumbangan diterima daripada pihak Perusahaan Makanan Meru dari Selangor yang menyumbangkan lebih satu tan bekalan berupa makanan dan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Hadir menyerahkan sumbangan ialah Pengarah Urusan Perusahaan Makanan Meru, Haji Razib Aman yang menyampaikan barangan dan bekalan makanan kepada Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim bertempat di penempatan pengumpulan bantuan banjir di UMP Kampus Gambang pada 29 Disember 2014 yang lalu.

Agensi-agensi lain turut berganding bahu membantu golongan yang memerlukan dan bantuan banjir ini akan diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar Pahang.

UMP mempunyai dua bilik Kawalan Operasi & Bencana (BKOB) iaitu di Gambang dan di Pekan yang menyelaras sukarelawan dan pengagihan sumbangan kepada mangsa banjir serta turut mempunyai lebih 500 sukarelawan bagi memberi bantuan di lokasi penempatan dan pembersihan yang buat masa ini tertumpu di lokasi penempatan mangsa banjir.