MyGift - An Everlasting Gift

Mobiliti Asean pelajar UMP timba pengalaman di negara Vietnam

Program Mobiliti  Asean 2016 di Ho Chi Minh, Vietnam baru-baru ini  memberi  pendedahan kepada seramai sembilan orang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menimba pengalaman mengenai sosio budaya, sosio ekonomi dan sejarah peradaban di negara Vietnam.

Vietnam merupakan salah satu negara yang mengamalkan cara pemerintahan yang berkonsepkan komunis. Namun, semangat patriotisme yang dipamerkan rakyat Vietnam ini amat mengkagumkan.
 
Menurut pengarah program, Muhammad Faizzudin Mohd Amin berkata, mereka dapat menyaksikan sendiri persembahan lakonan dan nyanyian patriotik bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan negara Vietnam pada 22 Disember lalu.

“Semangat patriotism yang dipamerkan rakyat Vietnam amat mengkagumkan. Selain itu, peluang melawat Chu Chi Tunnel iaitu terowong yang dibina sepanjang 250 kilometer sebagai laluan rahsia mereka daripada pengetahuan musuh sewaktu peperangan begitu hebat dan menunjukkan kemampuan mereka yang luar biasa,” katanya.

Masyarakat di negara ini juga agak kreatif dalam penggunaan  bahan dan mesin  yang agak berbeza berbanding di negara kita. Tambahan pula, mereka juga menjadikan perindustrian  sebahagian daripada tarikan perlancongan di negara itu.  
 
Mereka turut berpeluang berkunjung ke Sekolah Menengah Le Quy Don yang merupakan salah satu sekolah elit di Ho Chi Minh. Walaupun sekolah ini bertaraf elit, yuran persekolahan masih sama seperti sekolah –sekolah biasa yang lain. Lebih menarik, sekolah ini menerima hampir 4000 permohonan setiap tahun, namun hanya 400 pelajar sahaja terpilih selepas di saring melalui ujian kemasukan bagi memastikan pelajar yang dipilih berkualiti.

Peserta juga bertuah kerana dapat bertemu dengan Pengarah Bahagian Education Malaysia di Ho Chi Minh, Normala Baharudin dalam membincangkan peranan bahagian ini dalam mempromosikan sistem pendidikan Malaysia di Vietnam.  

Mereka turut berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Kedutaan Malaysia di Vietnam, melawat Sungai Mekong, melihat sendiri operasi kilang tradisional dan kilang pakaian serta sama-sama meraikan graduan University of Economic Ho Chi Minh.