MyGift - An Everlasting Gift

Mahasiswa UMP Berbakti di Tuaran

Program Seikhlas Kasih Seindah Budi anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Sekretariat AlFalah berjaya menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi mewujudkan integrasi sosial antara mahasiswa dan komuniti setempat di Kiulu.

Seramai 15 orang sukarelawan berpeluang mengenali budaya masyarakat pelbagai kaum di Sabah, kehidupan di Rumah Transit Hidayah dan mengadakan program khidmat komuniti di sekitar Pekan Kiulu, Kampung Pukak, Kampong Nawoi serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuan Fad Stephens.
 
Bagi ketua projek, Mohd. Ferdaus Musa berkata, peserta bergotong-royong membantu penduduk luar bandar di sekitar Kiulu dengan mengadakan kerja-kerja pendawaian elektrik di Dewan Serbaguna Kiulu. Dengan adanya kemudahan ini mampu memanfaatkan penduduk apabila banyak aktiviti dapat dijalankan di dewan ini.

“Program ini juga dapat memperkenalkan UMP kepada pelajar sekolah apatah lagi ianya kunjungan pertama mahasiswa universiti ke sekolah SMK Tun Fuad ini. Sukarelawan menjalankan program motivasi kepada pelajar dalam menyuntik semangat pelajar untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.
 
Selain itu mereka juga mengadakan program kebudayaan bersama penduduk Kampung Pukak dalam berkongsi adat resam dan seni budaya masing-masing.

Manakala bagi Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah, Dato’ Louis Rampas berbesar hati menerima kunjungan mahasiswa UMP yang dapat meluangkan masa dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang mendekatkan diri kepada masyarakat setempat.  Program turut melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kiulu dan Jabatan kerja Raya (JKR) Tuaran.