MyGift - An Everlasting Gift

Persatuan Bahasa Mandarin Sumbang Buku

 

Baru-baru ini telah berlangsungnya majlis penyerahan buku Bahasa Mandarin oleh Persatuan Bahasa Mandarin (MLS) UMP kepada empat perpustakaan sekitar negeri Pahang bertempat  di Auditorium Perpustakaan UMP Pekan.


Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan UMP, Haji Ruslan Che Pee kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Hwa, SJKC Kemasul, SJKC Kong Ming dan Perpustakaan Perbadanan Awam Negeri Pahang.


Dalam ucapan perasmiannya, Haji Ruslan berkata, pihak Perpustakaan UMP amat menghargai kesungguhan mahasiswa dalam usaha mengumpul buku-buku  untuk menjayakan program serahan buku kepada Perpustakaan luar UMP. Pihaknya sentiasa menyokong aktiviti sebegini dan sentiasa berbesar hati menerima sumbangan bahan-bahan bacaan untuk Perpustakaan UMP.
Pada hari ini, sebanyak 1981 buah buku telah berjaya dikumpulkan dan buku-buku ini akan didermakan kepada empat perpustakaan yang terdiri daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Hwa, SJKC Kemasul, SJKC Kong Ming termasuk Perpustakaan Perbadanan Awam Negeri Pahang.  
 
Sementara itu, Pengarah program, Thor Wei Soon, berkata amat berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pengumpulan buku-buku ini sehingga jayanya program ini. 
“Projek pengumpulan buku terpakai  ini telah disertai oleh mahasiswa UMP bermula pada bulan Disember 2016 sehingga  Februari 2017.Walaupun tempohnya hanya dua bulan, namun kami berjaya mendapatkan 1981 buah buku dan disumbangkan kepada yang memerlukan. Diharapkan buku-buku ini dapat memberi manafaat kepada pembaca  di Perpustakaan masing-masing," katanya.


Selain itu, pengumpulan buku terpakai ini juga merupakan satu usaha dalam mengurangkan pembuangan buku terpakai serta mengamalkan konsep 3R (Reduse,Reuse & Recycle). Program ini merupakan anjuran Persatuan Bahasa Mandarin (MLS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA). Turut hadir Pengarah  Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Hajah Faridza Jaafar, Pustakawan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Maria Hamzah, Pengetua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Hwa Kuala Pahang, Lim Lee Chern dan Ketua Jabatan Mandarin SJKC Kok Min Kuantan, Lim Yu Yan.