MyGift - An Everlasting Gift

Pelajar empower ECER cemerlang raih 9 A

Peserta program empower ECER, Nurul Amiera Afindi mencatat sejarah SMK Lepar buat julung kalinya apabila meraih semua A (9A) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumum semalam. Turut cemerlang peserta ECER lain adalah Farah Izzati Md Rodzi (6A), Iffah Dayana Shamsul Baharin (5A) dan Kong Mei Yun A/P Kong Kah Hoe (6A). Nurul Amiera yang merupakan anak kedua daripada lima adik- beradik menjadikan fokus utama dalam kelas dan kerap membuat latih tubi sebagai resepi kejayaan dalam peperiksaan kali ini.

Sementara itu, peserta ECER dari SMK Paloh Hinai, Choi Ah Bob A/L Choi Ko Onn,18, muncul pelajar orang asli cemerlang di negeri Pahang apabila meraih 6A dalam SPM kali ini. Beliau merupakan merupakan anak ketiga daripada empat adik- beradik. Kematian ayahnya, Choi Ko Onn tidak menghalang Choi Ah Bob meneruskan usaha mengikut jejak abangnya yang cemerlang, Choi Ah Tom yang kini sedang mengikuti pelajaran Tingkatan 6 di SMK Ahmad Pekan. Baginya, program empower akademik termasuk mengikuti kelas tambahan dan teknik menjawab soalan banyak membantunya meraih kejayaan ini.

Hadir sama menyaksikan pengumuman di dewan sekolah SMK Lepar adalah Pen. Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Jamil Ismail, Pengurus Besar Jabatan Sosio Ekonomi dan Projek Khas UMP Advanced Education, Zainal Bahari yang juga Pengarah Projek ECER UMP serta Pengetua SMK Lepar, Haniza Hashim.

Sebanyak 11 program dilaksanakan dalam program empower ECER iaitu Program Guru Pakar, Program Motivasi Pelajar dan Ibu Bapa, Program Sains, Matematik dan Teknologi, Program Mencatat Nota Secara Efektif, Program Super Camp, Kem Pendidikan, Empower Akademik, Karnival Sains dan Matematik, Empower Boot Camp, Program Cekap Matematik dan English Camp merupakan pengupaya tambahan daripada pihak UMP dan ECERDC sebagai sokongan terhadap usaha berterusan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah-daerah yang terlibat dan sekolah-sekolah yang berkenaan.