MyGift - An Everlasting Gift

UMP jalin kerjasama dengan Dimension Bid bagi pengkomersilan produk industri minyak dan gas

Pekan, 18 Mei- Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Dimension Bid Sdn. Bhd (DB) dalam pengkomersilkan produk yang boleh dimanfaatkan oleh industri minyak dan gas. Kerjasama ini melibatkan perkongsian kepakaran, pengalaman antara kedua pihak terutamanya dalam bidang formulasi bahan kimia bagi kegunaan industri minyak dan gas.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Profesor Dr. Jamil Ismail menandatangani dokumen MoA dengan Ketua Pegawai Eksekutif Dimension Bid Sdn Bhd, Dato’ Aziz Ayob dan Timbalan Presiden Operasi DB, Mia Indorman Ismail. Hadir sama Pengarah Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation, Dr. Mohd.Shahreen Zainooreen dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin.

Dato’ Dr. Daing Nasir berkata, keunggulan penyelidikan dan inovasi merupakan salah satu daripada lima lonjakan yang telah dikenalpasti dalam pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020. UMP komited untuk memberikan tumpuan khusus terhadap kemampanan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat melalui kluster penyelidikan yang berstruktur.

“Bidang-bidang kepakaran yang dimiliki syarikat ini seperti Slickline Intervention, Cased Hole Electric Line Logging, Coiled Tubing Services, Braided Line Fishing, dan Subsurface and Data Services adalah amat relevan dengan bidang-bidang kejuruteraan dan sains yang ditawarkan di UMP terutamanya di Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Ekektrik & Elektronik dan Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian,” katanya

Dalam masa yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan Anugerah Industri Dimension Bid sebanyak 50 ribu kepada UMP untuk dianugerahkan kepada pelajar cemerlang dalam setiap kali Majlis Konvokesyen UMP mulai tahun ini.

Dimension Bid Sdn Bhd (DB) merupakan salah sebuah syarikat Bumiputra yang telah bertapak di Malaysia sejak 22 tahun yang lalu. Syarikat ini bukan sahaja telah menempa nama di Malaysia, malah telah meluaskan empayar perkhidmatan di negara Vietnam, Myanmar, Thailand, Indonesia, Filipina, Turkmenistan dan yang terbaharu di negara Arab Saudi.

Syarikat yang terus melakar warna di persada antarabangsa ini, kini mempunyai lebih dari 400 orang pekerja mahir dan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik. Dimension Bid Sdn Bhd juga merupakan syarikat tempatan pertama yang berjaya menyiapkan perkhidmatan Coiled Tubing di lapangan minyak luar pantai Terengganu.