MyGift - An Everlasting Gift

UMP  bantu keluarga ibu tunggal bersama lima anak

 

Ketibaan bulan Ramadan kali ini memberi sinar baharu buat keluarga ibu tunggal, Lizawati Mustafa, 34 yang tinggal bersama lima orang anaknya apabila mendapat sumbangan keperluan kelengkapan rumah dan keperluan asas daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerusi program Pra-Asnaf pada 4 Jun 2016 yang lalu di Jaya Gading Kuantan.

Lebih 20 sukarelawan pelajar dan staf UMP hadir menyertai aktiviti bergotong-royong mengemas dan membersihkan rumah anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (Matahari) itu.

Program ini merupakan inisiatif PIMPIN dan Matahari dalam membantu keluarga Lizawati anak-anaknya sempena Ramadan kali ini, Keluarga ini mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah yang berusia dari lapan tahun hingga 13 tahun dan dua orang anaknya yang masih belum sekolah dengan pendapatan ibunya sebagai tukang sapu.

Sumbangan UMP pada kali ini bukan sahaja dari sumbangan barangan keperluan dan makanan malahan UMP turut bergotong-royong membersihkan rumah serta menyusun peralatan.

Selain itu juga, UMP turut menyerahkan perabot seperti katil, almari, meja makan, meja belajar, almari dapur bagi kemudahan dan kegunaan mereka sekeluarga.

Lizawati yang bekerja sebagai Tukang Sapu di Sekolah Kebangsaan Fakeh, Jaya Gading dengan pendapatannya sebanyak RM800 sebulan sememangnya amat mencabar untuk menampung keperluan anak-anak dan perbelanjaan sekolah dan sewa rumah.

Anak sulungnya Mohd Khairul Syafirudin, 13 mengidap autisme kini sedang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau manakala dua lagi anaknya Intan Maisarah, 11 dan Nor Atikah Najwa, 8 yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Fakeh.

Seorang lagi anaknya yang masih belum bersekolah Mohd Zulfahmi, 5 dan Mohd Luqman, 3 akan dihantar ke rumah adiknya di Taman Tas untuk dijaga ketika beliau bekerja.

Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim bersama isteri, Datin Hajah Fazia Ali dan Pengarah Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyuddin Ismail.