MyGift - An Everlasting Gift

Jejak Asnaf Kembali ke Sekolah bantu pelajar kurang berkemampuan

 

Seramai 34 pelajar sekolah menerima sumbangan kelengkapan sekolah melalui Program Jejak Asnaf: “Kembali ke Sekolah” anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama UMP Advanced Education (UAE) dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) pada 16 Disember 2015 yang lalu.

Program bantuan persekolahan itu merupakan inisiatif yang memasuki kali kedua pada tahun ini bertujuan untuk meringankan bebanan keluarga asnaf dan fakir miskin yang mempunyai anak yang akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

Program ini juga adalah lanjutan daripada Jejak Asnaf yang dijalankan pada bulan Ramadan lalu dengan menyampaikan sumbangan kepada penerima yang dikenal pasti sekitar Kuantan dan Pekan yang memfokuskan keperluan kepada keluarga yang memerlukan bagi sambutan hari raya. Manakala pada kali ini memfokuskan kepada anak-anak asnaf dan anak yatim di sekolah rendah dan menengah untuk penyediaan keperluan sekolah yang antaranya termasuklah pakaian, kasut sekolah, dan alat tulis.

Sumbangan ini secara tidak langsung dapat menyuntik semangat anak–anak ini untuk memulakan sesi persekolah yang akan menjelma tidak lama lagi dan dapat belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga meraih kejayaan suatu hari nanti.