MyGift - An Everlasting Gift

Mahasiswa UMP Hulur Bantuan Kanak-kanak Mangsa Taufan Haiyan dan Gelandangan

Seramai 10 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama-sama pihak badan kebajikan Mercy in Action mengikuti Program Jelajah Komuniti ASEAN 2015: "Komuniti Sosial & Budaya Filipina" anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) pada 22 Ogos 2015 yang lalu.

Antara aktiviti kesukarelawan yang dijalankan iaitu memberi makanan dan minuman kepada kanak-kanak gelandangan yang berada di sekitar bandar Talisay dan mengajar kanak-kanak di Tapul Elementary School dan Tapul High School.

Tapul ialah sebuah kawasan yang mana masyarakatnya tinggal di kawasan pergunungan dan merupakan salah sebuah kawasan yang menjadi lokasi projek pembinaan rumah oleh pasukan Mercy in Action.

Mereka turut berkongsi pengalaman mereka ketika diminta untuk mengajar subjek geografi dan juga menceritakan budaya Malaysia kepada pelajar di sana selain mengajar Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil kepada mereka.

Selain itu mereka turut berkesempatan menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan rumah Chelo;s House yang merupakan salah sebuah rumah perlindungan kanak-kanak lelaki yang dibina oleh Mercy in Action untuk menempatkan kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa penyeludupan kanak-kanak.

Menurut Pengurus Chelo's House, Brice pada masa ini kanak-kanak lelaki ini ditempatkan di kawasan penempatan sementara dan dijangka bakal berpindah masuk ke Chelo's House tidak lama lagi.