MyGift - An Everlasting Gift

UMP Terima RM 70 Ribu Sumbangan ETIQA TAKAFUL Berhad Bantu Pelajar Miskin

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan sebanyak RM 70 ribu daripada pihak Etiqa Takaful Berhad bagi membantu pelajar yang mempunyai bebanan kewangan dalam menyambung pengajian mereka di universiti ini. 

Majlis penyerahan cek sumbangan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Takaful Sdn. Bhd, Shahril Azuar Jimin kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Utama, UMP Kampus Gambang pada 25 Mac 2011 yang lalu.

Sumbangan yang diterima akan diagihkan kepada pelajar yang terdiri daripada keluarga yang mempunyai latar belakang tidak mempunyai pendapatan tetap, anak yatim piatu, pelajar yang mempunyai ibu bapa yang kurang upaya dan mempunyai adik beradik yang ramai.

UMP telah menubuhkan Tabung Zakat sejak tiga tahun lalu dengan dana permulaan sebanyak RM 30 ribu. Tabung ini berperanan dalam mengumpulkan dana untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan.

Sehingga kini, seramai 273 pelajar telah menerima wang bantuan daripada dana ini dengan nilai agihan di antara RM 200 hingga RM500 mengikut kriteria yang ditetapkan universiti.

Sumbangan daripada pihak Etiqa Takaful Berhad ini merupakan sebahagian daripada Program Tanggungjawab Zakat Korporat (CZR) dan dijangka dapat membantu lebih ramai pelajar yang ditimpa kesusahan dan sumbangan ini merupakan jumlah terbesar yang diterima UMP setakat hari ini.

Etiqa Takaful Berhad berharap dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan dalam bentuk material, kewangan serta sokongan moral dalam menjalani kehidupan seharian bagi merapatkan hubungan sesama masyarakat setempat.