MyGift - An Everlasting Gift

6 Mahasiswa Baharu Terima Bantuan Insentif MyGift UMP

Kuantan, 2 September- Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA), Mugunthan A/l Krishnan tidak menyangka hasratnya tercapai apabila berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Pahang  (UMP) baru-baru ini.

Memang menjadi hasratnya untuk menyambung pengajian di universiti, namun memandangkan ketiadaan ayah dan keadaan ibunya yang sakit serta bebanan kewangan membuatkannya berbelah bagi untuk meneruskan pengajian.  Walau bagaimanapun atas galakan dan nasihat ibunya, Kamalaa Devi a/p Muniandy beliau tekad melangkah menjejakkan kaki ke menara gading ini.

“Semasa menunggu surat tawaran universiti saya bekerja di sebuah kilang di Seremban bagi menampung keperluan harian untuk ibu dan adik saya. Dengan menabung inilah saya mempunyai sedikit simpanan untuk masuk universiti,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah  Kebangsaan King George Seremban.

Namun apa yang mengembirakan sebaik tiba di kampus, pihak UMP memaklumkan beliau merupakan salah seorang penerima bantuan Insentif Pendidikan UMP. Malahan berpeluang menginap di rumah tamu UMP untuk sesi pendaftaran. Mugunthan amat terharu dengan bantuan ini dan atas keprihatinan UMP terhadap mahasiswa baharu sepertinya.   

Begitu juga dengan Mohd. Al-Amin Shafizal Muhd. Suhaimi yang merupakan mahasiswa Fakulti Pengurusan Industri. Sebagai anak sulung pasangan Muhd. Suhaimi Mohammed dan Wan Mazani Wan Draman, beliau mempunyai impian untuk mengubah nasib keluarganya dan menjadi contoh buat empat adik- beradik lain. Perasannya bercampur-baur apabila berjaya melangkah masuk universiti dan lebih bermakna dipilih menerima Skim Bantuan Insentif Pendidikan MyGift sebanyak RM1000.

Sementara itu, bagi mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Nasya Aiman Zainal Abidin yang hadir sendiri mendaftar masuk ke universiti tanpa ditemani keluarga bukan halangan buatnya untuk terus merealisasikan impiannya menggenggam segulung ijazah  apabila tamat pengajian nanti. Lain-lain penerima adalah mahasiswa FTK, Ummul Aqilah Zulkifli, Nurillya Zah Zahimi daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam dan Nur Izzatul Iffah Mazlan yang merupakan mahasiswa Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian.

Universiti turut menguruskan pengangkutan dan penginapan buat keluarga yang memerlukan bagi memastikan urusan pendaftaran mahasiswa berjalan lancar. Usaha ini merupakan sebahagian Inisiatif MyGift yang diperkenalkan UMP dalam usaha menjadi universiti komuniti dan sebagai usaha mengumpul sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menyalurkan sumbangan endowmen bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada mahasiswa mahupun membudayakan semangat membantu golongan yang memerlukan.

Tags: MyGift, CSR, Insentif Pendidikan